STATUS SEMASA INDUSTRI KREATIF NEGARA
Sumbangan Industri Kreatif Kepada KDNK
Secara purata industri kreatif di negara-negara maju menyumbang antara
1 sehingga 5% kepada KDNK. Dalam konteks Malaysia, industri kreatif
dianggarkan menyumbang 1.27% kepada KDNK (sumber: Creative Industry
Baseline Study, MDEC 2008) dan sektor pengiklanan merupakan antara
penyumbang terbesar bagi jumlah ini. Perkembangan ini menunjukkan
bahawa industri kreatif berpotensi menyumbang dan menjadikan ekonomi
negara lebih dinamik.
Industri kreatif juga telah mewujudkan peluang pekerjaan yang luas,
berdasarkan statistik guna tenaga di negara-negara maju seperti United
Kingdom 4.5%, Hong Kong 5.3%, Amerika Syarikat 5.9%, Taiwan 3.6%,
Australia 3.8% dan Singapura 3.4% (sumber: Centre for Cultural Policy
Research HD Hong Kong University, Baseline Study on Hong Kong Creative
Industries, 2003). Di Malaysia, guna tenaga dalam industri kreatif dianggarkan

sebanyak 0.4% atau 45,301 pekerjaan (sumber: Creative Industry Baseline
Study, MDEC 2008). Guna tenaga di Malaysia 2009 ialah 10.89 juta atau
38.5% daripada 28.31 juta penduduk Malaysia (Sumber: Jabatan Statistik,
2009).
Kadar pertumbuhan peluang pekerjaan ini dapat ditingkatkan lagi melalui
Dasar Industri Kreatif Negara yang terarah sekali gus boleh menyumbang
untuk mengurangkan kadar pengangguran. Kadar pengangguran di Malaysia
pada tahun 2009 ialah 3.6%. (Sumber: Jabatan Statistik, 2009).
ISU DAN CABARAN
Secara umumnya, isu dan cabaran industri kreatif di dalam negara yang
dikenal pasti adalah berkaitan aspek-aspek seperti berikut:
(i) Kerangka Institusi perundangan, penguatkuasaan,
pemantauan dan penyelarasan bagi memartabatkan industri
kreatif.
Ketiadaan kerangka institusi perundangan merupakan antara cabaran
utama dalam membangunkan industri kreatif tempatan. Sebagai
contoh industri seni reka fesyen di negara ini tidak dikawal selia oleh
mana-mana institusi menyebabkan ketiadaan perancangan yang teliti
untuk membangunkannya. Manakala isu penguatkuasaan, pemantauan
dan penyelarasan antara agensi juga menjadi salah satu isu yang sering
diperkatakan. Sebagai contoh, industri kandungan mempunyai beberapa
agensi yang bertanggungjawab seperti Lembaga Penapisan Filem di
bawah Kementerian Dalam Negeri dan Suruhanjaya Komunikasi dan
Multimedia (SKMM) di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi
dan Kebudayaan. Perkara ini tidak berlaku di Singapura yang industri
kandungannya berada di bawah tanggungjawab Media Development
Authority (MDA) dan di Korea pula peranan ini dilaksanakan oleh Korea
Creative Content Agency (KOCCA).
(ii) Kesedaran Terhadap Industri Kreatif
Kurangnya kesedaran terhadap kepentingan dan potensi industri kreatif
dalam kalangan masyarakat merupakan antara isu yang dihadapi oleh industri kreatif di negara ini. Masyarakat Malaysia sering memandang
rendah kepada mereka yang terlibat dalam industri ini. Malah, masyarakat
beranggapan bahawa bidang ini tidak mempunyai nilai ekonomi
dan komersial yang tinggi. Imej karyawan di negara ini jauh lebih rendah
berbanding dengan bidang-bidang profesional yang lain.
Selain itu, apresiasi masyarakat terhadap nilai estetika kesenian dan
kebudayaan juga masih rendah dan sering dipinggirkan. Ini kerana nilai
estetika adalah subjektif iaitu pentakrifan terhadap sesuatu karya atau
produk, berbeza antara seorang individu dengan individu yang lain. Oleh
itu, karya kreatif sukar dinilai dalam konteks komersial.
(iii) Harta Intelek
Harta intelek merupakan salah satu aspek penting dalam industri kreatif.
Pembudayaan harta intelek, yang meliputi kesedaran mempaten dan
budaya menghormati harta intelek masih belum dihayati sepenuhnya oleh
masyarakat di negara ini. Malah, kesedaran dalam kalangan karyawan dan
masyarakat mengenai kepentingan nilai dan manfaat daripada
pemeliharaan hak cipta masih rendah. Akibatnya, banyak karya tempatan
hilang hak cipta dan peluang meraih pulangan yang sepatutnya.

(iv) Pembangunan Modal Insan
Pembangunan modal insan juga merupakan antara cabaran
yang perlu dihadapi oleh mana-mana bidang yang ingin dimajukan
oleh sesebuah negara. Industri kreatif merupakan industri yang unik
kerana memerlukan modal insan yang terdiri daripada mereka yang
mempunyai minat, bakat dan kebolehan tersendiri. Pada masa ini,
negara masih kekurangan modal insan yang terdiri daripada karyawan
seni dan pekerja berkemahiran tertentu. Selain itu, kebanyakan karyawan
memperoleh kemahiran melalui tacit knowledge.
(v) Teknologi
Kemajuan teknologi memainkan peranan penting dalam memajukan
industri kreatif, namun di negara ini perkembangan teknologi tidak
dapat digunakan sepenuhnya berikutan kekurangan pengetahuan
dan kemahiran. Aplikasi teknologi dalam industri kreatif berada
di tahap minimum berbanding dengan keupayaannya yang begitu
besar yang memerlukan daya kreativiti dan inovasi yang tinggi. Malah,
indigenous knowledge (IK) seperti seni tenunan tidak dapat diurus dengan
baik sehingga mewujudkan risiko kemahiran berkenaan pupus ditelan
zaman.
(vi) Dana dan Insentif Kewangan
Antara isu lain yang sering diperkatakan oleh penggiat industri kreatif ialah
ketiadaan penyelarasan dalam penyediaan dana oleh Jabatan/
Agensi Kerajaan dan institusi kewangan yang mengendalikannya.
Sebagai contoh, terdapat beberapa Jabatan/Agensi Kerajaan
yang menyediakan bantuan berbentuk dana kepada industri
kandungan iaitu MDEC, SKMM dan FINAS. Selain tiada penyelarasan
dalam penyediaan dana oleh Kerajaan, industri ini juga turut
berdepan dengan cabaran kekurangan pelaburan berikutan risiko
yang tinggi. Ini kerana tiada jaminan bahawa karya yang dihasilkan boleh
membawa keuntungan dan kejayaan sesebuah karya banyak bergantung
kepada faktor-faktor di luar kawal seperti cita rasa penonton yang berbeza
antara satu sama lain.
(vii) Pasaran dan Promosi
Bagi memastikan sebuah karya kreatif itu berjaya menembusi pasaran,
sama ada tempatan mahupun luar negara, aspek pemasaran dan promosi
perlu diberi penekanan. Walau bagaimanapun, industri kreatif di negara ini
berhadapan dengan cabaran yang mana peluang keusahawanan oleh
karyawan masih tidak jelas dalam konteks pasaran tempatan dan luar
negeri. Malah, industri ini berhadapan dengan kekangan kekurangan pakar
dalam bidang pemasaran yang mampu mempromosikan dan memasarkan
karya-karya kreatif tempatan ke pasaran serantau dan antarabangsa.
(viii) Prasarana
Penyediaan prasarana merupakan tanggungjawab yang perlu dikongsi
bersama oleh pihak Kerajaan dan swasta. Tanggapan umum bahawa
prasarana perlu disediakan oleh Kerajaan perlu diubah. Pihak swasta
harus digalakkan untuk terlibat secara aktif dalam membangunkan industri
ini. Selain itu, kemajuan prasarana secara terasing, kurang penyelarasan
dan tidak digunakan secara optimum merupakan antara cabaran dalam
membangunkan industri ini.
(ix) Penyelidikan dan Pembangunan
Kekurangan penyelidikan dan pembangunan dalam bidang kreatif
juga merupakan salah satu cabaran yang perlu dihadapi oleh industri ini.
Negara pada masa ini lebih memberi tumpuan kepada penyelidikan dan
pembangunan dalam bidang-bidang lain seperti kesihatan dan pertanian.
Aspek penyelidikan dan pembangunan yang kurang diberi perhatian
akan menyebabkan produk yang dihasilkan tidak mencapai kualiti yang
sewajarnya. Pengeluaran melalui kaedah tradisional menyebabkan tiada
pengkhususan kemahiran pekerja dan kualiti produk tidak dapat
dikawal.
(x) Persaingan
Memandangkan Malaysia merupakan salah sebuah negara di Kepulauan
Melayu yang mempunyai latar budaya yang hampir sama, aspek persaingan
adalah antara aspek yang tidak dapat dielakkan. Persamaan produk
dengan negara-negara jiran seperti Indonesia dan Thailand mewujudkan
persaingan dalam merebut pasaran yang terhad. Sebagai contoh, industri
muzik tanah air menghadapi persaingan yang sengit dengan kemasukan
karya-karya daripada Indonesia. Selain itu, persaingan dengan produkproduk
luar seperti China dan India yang memanfaatkan teknologi
mengakibatkan produk tempatan tidak kompetitif untuk menandingi
produk luar dari segi kualiti dan harga. Malah, kelemahan penguatkuasaan
dan kawal selia yang bersepadu menyebabkan berlaku lambakan produkproduk
asing yang menjejas pendapatan karyawan tempatan.

Views: 99

Comment

You need to be a member of Iconada.tv 愛墾 網 to add comments!

Join Iconada.tv 愛墾 網

愛墾網 是文化創意人的窩;自2009年7月以來,一直在挺文化創意人和他們的創作、珍藏。As home to the cultural creative community, iconada.tv supports creators since July, 2009.

Videos

  • Add Videos
  • View All